Saturday, April 17, 2010

Wei Shu akan dedah siapa 'monyet'......

 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Tan Wei Shu akan menemui para pengundi di kawasan itu dalam tempoh terdekat, bagi menjelaskan tindakannya meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau akan menggunakan kesempatan tersebut untuk menerangkan secara panjang lebar rasional di sebalik keputusannya itu.
"Saya kini berada di luar kawasan dan perlu mengambil sedikit masa untuk tenangkan fikiran. Saya berjanji akan berjumpa penduduk dalam tempoh terdekat ini.
"Saya akan gunakan kesempatan itu untuk menjelaskan perkara sebenar yang berlaku termasuk siapa dalang atau 'monyet' yang menganiayai saya,"
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaannya mendedahkan identiti pemimpin PKR yang dikatakan menjadi punca beliau mengambil keputusan meninggalkan parti tersebut.
PKR menerima tamparan hebat menjelang Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini apabila seorang lagi wakil rakyatnya mengisytiharkan keluar daripada parti itu untuk menjadi wakil rakyat Bebas.
Pengumuman Wei Shu kelmarin menjadikannya wakil rakyat PKR kesembilan yang mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas.
Tambahnya, beliau telah mengadakan perbincangan dengan para pengikutnya untuk menjadi wakil rakyat Bebas selepas tiada permohonan maaf dibuat oleh pemimpin terlibat kerana melemparkan pelbagai tuduhan terhadapnya.
Wei Shu memberitahu, beliau sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan sebahagian pengundi di Bakar Arang untuk memaklumkan keputusannya menjadi ADUN bebas.
"Penduduk memberikan maklum balas positif. Mereka tahu tindakan yang saya ambil ini wajar kerana ia melibatkan maruah dan kredibiliti saya,"

No comments: