Thursday, April 29, 2010

MB Bersongkok Yg Bongkak......

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bertindak angkuh apabila enggan melayan desakan yang mahu beliau memohon maaf kepada Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ekoran soalan mengenai bidangkuasa sultan pada sidang Dewan Undangan Negeri Kedah kelmarin.
Menurutnya, beliau tidak perlu memohon maaf kerana soalan yang dikemukakan oleh Mohd. Nasir Mustapa (Pas-Kubang Rotan) itu tidak melanggar Seksyen 36.8 Enakmen Peraturan Mesyuarat Dewan.
Jika semalam beliau mengakui tidak sedar wujudnya soalan itu dan bersetuju ''soalan itu memang tidak perlu ada pun'' hari ini beliau bercakap lain pula.
Katanya, apa yang dilarang menurut seksyen berkenaan adalah mempertikaikan sifat dan kelakuan raja termasuk titah serta hak-hak sultan.
"Nak minta maaf pasal apa, atas dasar apa? Yang timbul isu itu kerana wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidak faham undang-undang.
"Yang ditanya dalam Dewan ialah sejauh mana bidang kuasa sultan dihormati, bukan mempertikaikan kuasa sultan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Menteri Besar ditanya mengenai tuntutan Persatuan Kerabat Diraja Kedah (PKDK) semalam supaya beliau dan Mohd. Nasir memohon ampun kepada Sultan Kedah berikutan soalan yang dikemukakan oleh wakil rakyat Kubang Rotan itu pada sidang DUN kelmarin.
Pemuda BN turut dilaporkan meminta kerajaan negeri memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Kedah berhubung isu berkenaan.
Pada sidang DUN tersebut, bantahan keras daripada beberapa wakil rakyat BN yang mempertikaikan dua soalan bertulis dikemukakan oleh Mohd. Nasir itu telah menyebabkan Speaker, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail membatalkan soalan berkenaan.
Penyokong pembangkang menganggap soalan itu seolah-olah cuba mempertikaikan kuasa sultan selaku Ketua Agama Islam di negeri ini.
Dua soalan yang menimbulkan kontroversi tersebut adalah sejauh manakah bidang kuasa sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini dihormati oleh Kerajaan Pusat dan setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan Kerajaan Negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam ?
Ditanya adakah beliau patut menjelaskan isu berkenaan kepada Tuanku Abdul Halim, Azizan berkata, ia tidak perlu kerana Sultan Kedah sudah memahaminya.
Menurutnya, semalam beliau telah menghubungi Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Elmi Yusoff mengenai isu tersebut dan meminta beliau supaya tidak mengendahkannya.
Dalam pada itu katanya, PKDK seolah-olah dipergunakan oleh 'orang politik' sehingga melakukan bantahan mengenai perkara berkenaan di Anak Bukit semalam dan sepatutnya datang berjumpa sendiri dengan beliau bagi mendapatkan penjelasan.
"Kenapa pula dia nak tunjuk perasaan macam Baju Merah di Bangkok itu," katanya.

Friday, April 23, 2010

lagi keluar dan melarikan diri dari Datuk Seri Anwar Ibrahim!!!!

Kepercayaan ahli terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin terhakis apabila lebih 200 pemimpin dan ahli parti itu mengisytiharkan keluar parti tersebut hari ini.

Antara mereka ialah Ketua Angkatan Muda Kelantan (AMK) Wan Khairul Ihsan Wan Mohamad, 34, dan Setiausaha AMK negeri itu, Ezri Zainal Abidin, 29.
Tindakan terbaru itu dianggap semakin memberi tekanan kepada kepimpinan PKR yang sedang bergelut untuk mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya kecil kawasan itu, Ahad ini.
Menurut Wan Khairul Ihsan, tindakan itu dilakukan kerana sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, rasa tidak percaya ini bermula apabila mereka melihat kesengsaraan rakyat di bawah.
"Kononnya mengangkat madah perjuangan untuk menegakkan keadilan tetapi itu hanya omong kosong kerana ia perjuangan peribadi untuk mengangkat diri Anwar menjadi Perdana Menteri.
"Keluhan pemimpin dan rakyat di bawah langsung tidak didengar. Sedangkan keluhan saya, seorang pemimpin yang mengangkat mandat di sebuah negeri pun tidak didengar, apa jaminan pemimpin atasan parti untuk mengambil berat suara rakyat di bawah?" katanya pada sidang akhbar di Bukit Beruntung, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan bekas Ketua AMK, Ezam Mohd. Nor.
Khairul Ihsan berkata, prinsip PKR yang disertainya sejak awal penubuhan parti berkenaan juga telah menyimpang jauh dari perjuang asal parti berkenaan.
"Prinsip PKR akhir-akhir ini kalau ada pangkat datuk, ada wang, maka anda ada tempat di dalam parti berkenaan.
"Kalau kerja kuat, berjaga malam jaga bendera, itu bukan jaminan untuk mendapat tempat di dalam parti. Kalau UMNO haram tetapi orang yang sama duduk di dalam PKR, semuanya halal," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau meminta pengundi-pengundi di Hulu Selangor supaya memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional, P. Kamalanathan yang sekali gus memastikan parti berkenaan kembali menguasai kerusi Parlimen tersebut.
Sementara itu di Kalumpang, kira-kira 200 orang ahli PKR cabang Hulu Bernam turut mengisytiharkan keluar daripada parti tersebut.
"Saya berharap mereka tidak akan terpedaya dengan dakyah, fitnah dan pembohongan yang dilakukan oleh pembangkang dalam meraih undi," katanya.
Mereka diketuai Ketua Jawatankuasa Daerah Mengundi PKR Hulu Bernam, Mohd. Salleh Mat Noor, 56, dan Ketua AMK Hulu Bernam, Hanif Khan Sairan, 32.
Menurut Mohd. Salleh, beliau menyesal dengan tindakannya yang memperjuangkan parti berkenaan dan menganggapnya sebagai perbuatan yang sia-sia.
Katanya, sudah dua tahun dia membuat penajaan ahli-ahli baru tetapi sehingga kini belum selesai prosesnya.
"Keahlian parti sendiri tak boleh diurus, apatah lagi hendak menguruskan organisasi, negeri atau negara?
"Saya menjalankan tugas tanpa batasan. Saya telah taja sebanyak 13 JDM yang membabitkan ramai keahlian baru tetapi tidak dinilai.
"Pastinya ahli yang pernah saya taja akan menempelak selepas ini tetapi saya terima segalanya atas nama kebenaran," katanya.

Thursday, April 22, 2010

300 ahli PKR keluar parti...lebih ramai lagi akan keluar......

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor kehilangan seorang lagi pemimpin apabila Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Klang, M. Palanibalakumar hari ini mengumumkan keluar parti.

Turut sama mengikut jejak Palanibalakumar ialah 300 ahli PKR Cabang Klang, majoritinya di Jalan Kem yang merupakan kubu kuat parti itu semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).
Kesemua mereka mengambil keputusan itu kerana hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan PKR serta rasa tertipu dan dipergunakan oleh pemimpin parti itu semasa pilihan raya umum lalu.
Palanibalakumar berkata, beliau dan 300 rakannya mengambil keputusan untuk menyertai MIC sebagai ahli biasa dan akan membantu kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor dan PRU-13 kelak.
"Setelah dua tahun PRU-12, kami masih hidup susah, tidak ada kerja manakala ibu tunggal dan anak-anak yatim tidak pernah diberi perhatian oleh PKR.
"Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Exco yang menjaga kebajikan kaum India, Xavier Jayakumar hanya datang menjenguk bila ada perayaan dan semasa kempen pilihan raya sahaja tetapi selepas itu kami terus diabaikan.
"Kami tidak mahu terus ditipu dan hari ini kami mengambil keputusan keluar parti serta-merta dan menyertai MIC," katanya kepada pemberita di Jalan Kem, Pelabuhan Klang di sini malam ini.
Menurutnya lagi, keputusan itu telah lama dibuat dan hari ini dipilih untuk menzahirkannya.
"Ini tidak ada kena mengena dengan pilihan raya di Hulu Selangor, tetapi kebetulan tarikh pengumuman yang telah dirancang beberapa bulan lalu jatuh pada hari ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda MIC Selangor, Shanker Raj Ayengar berkata, beliau mengalu-alukan keputusan Palanibalakumar dan rakan-rakannya.
Beliau berkata, MIC menerima kesemua mereka dengan hati terbuka dan berharap lebih ramai lagi kaum India mengikut jejak mereka keluar PKR.
"Kita diberitahu ramai lagi yang ingin keluar parti, tetapi mereka masih ragu-ragu," katanya yang hadir pada sidang akhbar itu untuk menerima borang kemasukan bekas ahli PKR

Azizan sedia bubar DUN

Tindakan beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang keluar dari parti itu atas beberapa faktor turut memanaskan lagi suhu politik di negeri ini. Terbaru, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika ada wakil rakyat pakatan pembangkang bertindak keluar parti sehingga menumbangkan kerajaan negeri sedia ada.
Katanya, beliau tidak teragak-agak untuk berbuat demikian bagi memberi kuasa semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan.
"Kalau saya sudah rasakan perlu, saya akan menghadap Tuanku Sultan Kedah memohon perkenan baginda untuk membubarkan Dewan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai perkembangan politik di negeri ini berikutan tindakan keluar parti oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Tan Wei Shu yang menjadi wakil rakyat Bebas selain timbulnya khabar angin kononnya akan ada lagi ADUN pembangkang lain mengikut jejaknya.
Azizan berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinannya pada masa ini tidak tergugat dengan apa yang berlaku.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap ADUN-ADUN lain dalam pakatan pembangkang bahawa mereka akan terus kekal menyokong pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui Pas.
Kedudukan terkini daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah menyaksikan Pas kini mempunyai 16 ADUN, PKR tiga dan seorang DAP yang membentuk kerajaan negeri manakala Bebas dua ADUN.
Barisan Nasional (BN) pula mempunyai 13 ADUN dengan satu lagi kerusi di Kota Siputeh yang masih berada dalam kes mahkamah.

Orang semakin sedar siapa Anwar

 Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, para pemimpin yang mendekati Datuk Seri Anwar Ibrahim kini semakin menyedari dan memahami peribadi sebenar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
Jika 'dibaca' dari luar, kata bekas Perdana Menteri itu, mereka tidak mengenali siapa Anwar tetapi apabila mendekatinya baru mereka tahu siapa sebenarnya beliau.
Katanya, Anwar bukan seorang yang ikhlas kerana kadang kala beliau membuat perkara yang tidak secocok dengan dakwaannya.
"Proses untuk menyedari siapa Anwar akan mengambil masa yang lama sebagai contoh, Dr. Chandra Muzaffar ialah pengikut kuat Anwar satu masa dahulu tetapi bertindak keluar daripada PKR.
"Kini Anwar menyaman Chandra berjuta-juta ringgit sementara salah seorang peguamnya, Zainur Zakaria juga telah bertindak meninggalkan Anwar," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan pada Multaqa Yang Dipertua Perkim, Tun Dr. Mahathir Mohamad Bersama Guru-guru Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran dan Warga Perkim Peringkat Zon Tengah.
Dr. Mahathir mengulas tindakan bekas doktor peribadi Anwar, Datuk Dr. Halili Rahmat yang juga pengasas PKR mengisytiharkan keluar parti dan menyertai UMNO semalam.
Beliau juga mempersoalkan perjuangan sebenar Anwar sama ada berjuang untuk negara atau untuk menjadi Perdana Menteri.
Ditanya mengenai calon PKR pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim yang ditohmahkan sebagai peminum arak, Dr. Mahathir berkata, terpulang kepada penilaian pengundi terhadapnya.
"Saya dahulu kena macam-macam, kononnya saya ada seorang isteri di Singapura dan itulah orang politik dan orang yang mendengar itu perlu membuat penilaian sendiri," ujarnya.
Mengenai dakwaan MIC hanya boneka kepada UMNO, Dr. Mahathir berkata, jika begitu keadaannya, sudah pasti Presiden parti itu, Datuk Seri S. Samy Vellu telah lama meninggalkan Barisan Nasional.

Soalan Yang Simple Lg Terang!!!Bravo la!!!!!!!!!!!!!!

Wartawan : Anwar Ibrahim pernah berkata bahawa Umno mahukan calon yang lemah, sebab itu, anda dipilih. Apa komen anda?

P. Kamalanathan : Sekiranya saya calon yang lemah, Anwar Ibrahim tidak akan berkempen di Hulu Selangor untuk calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim. (Jawapan itu mendapat tepukan daripada sebahagian besar pemberita yang hadir)

Sunday, April 18, 2010

Datuk Zaid Ibrahim yang akan mempertahankan kerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini, merupakan 'korban politik' yang disediakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, pemilihan Zaid sebagai calon dilihat tidak bertepatan dengan peranan beliau yang kononnya dianggap penting dalam PKR.
"Hulu Selangor bukanlah kerusi yang selamat bagi PKR kerana keputusan pilihan raya umum lepas menunjukkan mereka menang dengan majoriti kecil iaitu 198 undi sahaja. Jadi, sesiapa yang bertanding akan berdepan tugas sukar.
"Jika benar seperti yang diperkatakan iaitu Zaid mempunyai peranan penting dalam PKR, kenapa Anwar mahu 'mengorbankan' beliau di Hulu Selangor?"
Beliau mengulas pemilihan Zaid sebagai calon PKR untuk bertanding mewakili pakatan pembangkang pada pilihan raya kecil di kawasan Parlimen itu, 25 April ini.
Kata Anuar, kedudukan PKR di kawasan itu juga tidak kukuh dan menyifatkan parti itu cuma bernasib baik kerana berjaya merampasnya daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lepas dengan kemenangan 'nyawa-nyawa ikan' sahaja.
Beliau percaya Anwar akan menyalahkan Zaid jika bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu gagal mempertahankan kerusi itu, apatah lagi sebelum ini terdapat spekulasi bahawa hubungan mereka tidak begitu baik.
"Sebenarnya, hubungan Anwar dengan Zaid tidak 'ngam' walaupun berjuang di bawah bendera yang sama kerana tindakan Zaid campur tangan dalam isu PKR Sabah yang diketuai oleh Azmin Ali.
"Tindakan Zaid itu jelas melanggar arahan Ketua Pembangkang itu," kata Anuar lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan enam kotak rahsia yang disimpan oleh Anwar untuk dijadikan 'senjata politik' sejak 12 tahun lalu sebagai tidak wujud.
Pendedahan bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Ezam Mohd. Nor bahawa beliau sendiri sebenarnya tidak pernah melihat atau mengetahui kandungan kotak-kotak rahsia itu.
"Kalau betul ada kotak-kotak yang dikaitkan dengan kegiatan rasuah pemimpin-pemimpin UMNO dan BN, kenapa tak dedahkan sahaja dan tunggu lama sangat?
"Dia kena bertanggungjawab tampil menjelaskan apa sebenarnya (kotak rahsia itu)," kata Anuar.
Sementara itu, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohammad. Zahid Md. Arip berkata, kewujudan kotak itu sekadar mitos ciptaan Anwar semata-mata.
"Saya lama dalam PKR tapi saya sendiri tak pernah tengok kotak-kotak yang dimaksudkan itu.
"Berbohong sudah jadi budaya bagi dia, dia boleh cakap ada enam, 12 atau 30 kotak," katanya.
Menurutnya, jika benar kotak-kotak itu wujud, Anwar sudah pasti akan menggunakannya untuk meraih simpati rakyat terutamanya ketika kempen pilihan raya kecil.

Saturday, April 17, 2010

Wei Shu akan dedah siapa 'monyet'......

 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Tan Wei Shu akan menemui para pengundi di kawasan itu dalam tempoh terdekat, bagi menjelaskan tindakannya meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau akan menggunakan kesempatan tersebut untuk menerangkan secara panjang lebar rasional di sebalik keputusannya itu.
"Saya kini berada di luar kawasan dan perlu mengambil sedikit masa untuk tenangkan fikiran. Saya berjanji akan berjumpa penduduk dalam tempoh terdekat ini.
"Saya akan gunakan kesempatan itu untuk menjelaskan perkara sebenar yang berlaku termasuk siapa dalang atau 'monyet' yang menganiayai saya,"
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaannya mendedahkan identiti pemimpin PKR yang dikatakan menjadi punca beliau mengambil keputusan meninggalkan parti tersebut.
PKR menerima tamparan hebat menjelang Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini apabila seorang lagi wakil rakyatnya mengisytiharkan keluar daripada parti itu untuk menjadi wakil rakyat Bebas.
Pengumuman Wei Shu kelmarin menjadikannya wakil rakyat PKR kesembilan yang mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas.
Tambahnya, beliau telah mengadakan perbincangan dengan para pengikutnya untuk menjadi wakil rakyat Bebas selepas tiada permohonan maaf dibuat oleh pemimpin terlibat kerana melemparkan pelbagai tuduhan terhadapnya.
Wei Shu memberitahu, beliau sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan sebahagian pengundi di Bakar Arang untuk memaklumkan keputusannya menjadi ADUN bebas.
"Penduduk memberikan maklum balas positif. Mereka tahu tindakan yang saya ambil ini wajar kerana ia melibatkan maruah dan kredibiliti saya,"

Sunday, April 4, 2010

Gobalakrishnan Keseorangan.......

Pada tengah hari yang indah hari jumaat lepas, seorang Ahli Parlimen yang sentiasa bermegah dengan loncatan seperti monyet yang berada di dalam kandang yang sedang memegang bunga raya yang di petik oleh sekumpulam pemuda ketika berada di dalam Dewan Parlimen.

Dalam waktu tengah hari tersebut, beliau sedang berada bersama-sama wartawan di Taman Selasih. Ketika itu beliau keseorangan tanpa ditemani rakan-rakan beliau. Barangkali semua telah dapat bunga raya kot. Beliau berada di situ di sebabkan munculnya sekumpulan peniaga di Taman Selasih yang telah menghentam beliau.

Beliau turun di situ untuk menjadi seorang hero yang turun seperti Superman yang datang membantu orang dalam kesusahan. Piiirahhhh!!!!!sebelum sekumpulan peniaga tersebut turun, kenapa tidak turun sebelum itu. Sembang sapa pun boleh sembang. Setakat nak jadi Ahli Parlimen tidak buat kerja untuk masyarakat dan kalau turun kawasan pun asyik buat kerja mengkritik kerajaan buat pa. Adik aku pun boleh jadi Ahli Parlimen. Makan gaji buta. Itu lah Ahli Parlimen yang trelah dipilih oleh kebanyakkan melayu pada pilihanraya ke-12. Cukup hodoh perangai dan kelakuan juga seperti monkey.

p/s : Fikir-fikirkan lah dengan Ahli Parlimen kita ini. Dah banyak kesilapan kita memilih beliau sebagai pemimpin. Kita akan ubah kembali pada pilihanraya ke-13 nanti..........