Kepercayaan ahli terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin terhakis apabila lebih 200 pemimpin dan ahli parti itu mengisytiharkan keluar parti tersebut hari ini.
Antara mereka ialah Ketua Angkatan Muda Kelantan (AMK) Wan Khairul Ihsan Wan Mohamad, 34, dan Setiausaha AMK negeri itu, Ezri Zainal Abidin, 29.
Tindakan terbaru itu dianggap semakin memberi tekanan kepada kepimpinan PKR yang sedang bergelut untuk mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya kecil kawasan itu, Ahad ini.
Menurut Wan Khairul Ihsan, tindakan itu dilakukan kerana sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, rasa tidak percaya ini bermula apabila mereka melihat kesengsaraan rakyat di bawah.
"Kononnya mengangkat madah perjuangan untuk menegakkan keadilan tetapi itu hanya omong kosong kerana ia perjuangan peribadi untuk mengangkat diri Anwar menjadi Perdana Menteri.
"Keluhan pemimpin dan rakyat di bawah langsung tidak didengar. Sedangkan keluhan saya, seorang pemimpin yang mengangkat mandat di sebuah negeri pun tidak didengar, apa jaminan pemimpin atasan parti untuk mengambil berat suara rakyat di bawah?" katanya pada sidang akhbar di Bukit Beruntung, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan bekas Ketua AMK, Ezam Mohd. Nor.
Khairul Ihsan berkata, prinsip PKR yang disertainya sejak awal penubuhan parti berkenaan juga telah menyimpang jauh dari perjuang asal parti berkenaan.
"Prinsip PKR akhir-akhir ini kalau ada pangkat datuk, ada wang, maka anda ada tempat di dalam parti berkenaan.
"Kalau kerja kuat, berjaga malam jaga bendera, itu bukan jaminan untuk mendapat tempat di dalam parti. Kalau UMNO haram tetapi orang yang sama duduk di dalam PKR, semuanya halal," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau meminta pengundi-pengundi di Hulu Selangor supaya memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional, P. Kamalanathan yang sekali gus memastikan parti berkenaan kembali menguasai kerusi Parlimen tersebut.
Sementara itu di Kalumpang, kira-kira 200 orang ahli PKR cabang Hulu Bernam turut mengisytiharkan keluar daripada parti tersebut.
"Saya berharap mereka tidak akan terpedaya dengan dakyah, fitnah dan pembohongan yang dilakukan oleh pembangkang dalam meraih undi," katanya.
Mereka diketuai Ketua Jawatankuasa Daerah Mengundi PKR Hulu Bernam, Mohd. Salleh Mat Noor, 56, dan Ketua AMK Hulu Bernam, Hanif Khan Sairan, 32.
Menurut Mohd. Salleh, beliau menyesal dengan tindakannya yang memperjuangkan parti berkenaan dan menganggapnya sebagai perbuatan yang sia-sia.
Katanya, sudah dua tahun dia membuat penajaan ahli-ahli baru tetapi sehingga kini belum selesai prosesnya.
"Keahlian parti sendiri tak boleh diurus, apatah lagi hendak menguruskan organisasi, negeri atau negara?
"Saya menjalankan tugas tanpa batasan. Saya telah taja sebanyak 13 JDM yang membabitkan ramai keahlian baru tetapi tidak dinilai.
"Pastinya ahli yang pernah saya taja akan menempelak selepas ini tetapi saya terima segalanya atas nama kebenaran," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment