Thursday, April 29, 2010

MB Bersongkok Yg Bongkak......

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bertindak angkuh apabila enggan melayan desakan yang mahu beliau memohon maaf kepada Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ekoran soalan mengenai bidangkuasa sultan pada sidang Dewan Undangan Negeri Kedah kelmarin.
Menurutnya, beliau tidak perlu memohon maaf kerana soalan yang dikemukakan oleh Mohd. Nasir Mustapa (Pas-Kubang Rotan) itu tidak melanggar Seksyen 36.8 Enakmen Peraturan Mesyuarat Dewan.
Jika semalam beliau mengakui tidak sedar wujudnya soalan itu dan bersetuju ''soalan itu memang tidak perlu ada pun'' hari ini beliau bercakap lain pula.
Katanya, apa yang dilarang menurut seksyen berkenaan adalah mempertikaikan sifat dan kelakuan raja termasuk titah serta hak-hak sultan.
"Nak minta maaf pasal apa, atas dasar apa? Yang timbul isu itu kerana wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidak faham undang-undang.
"Yang ditanya dalam Dewan ialah sejauh mana bidang kuasa sultan dihormati, bukan mempertikaikan kuasa sultan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Menteri Besar ditanya mengenai tuntutan Persatuan Kerabat Diraja Kedah (PKDK) semalam supaya beliau dan Mohd. Nasir memohon ampun kepada Sultan Kedah berikutan soalan yang dikemukakan oleh wakil rakyat Kubang Rotan itu pada sidang DUN kelmarin.
Pemuda BN turut dilaporkan meminta kerajaan negeri memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Kedah berhubung isu berkenaan.
Pada sidang DUN tersebut, bantahan keras daripada beberapa wakil rakyat BN yang mempertikaikan dua soalan bertulis dikemukakan oleh Mohd. Nasir itu telah menyebabkan Speaker, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail membatalkan soalan berkenaan.
Penyokong pembangkang menganggap soalan itu seolah-olah cuba mempertikaikan kuasa sultan selaku Ketua Agama Islam di negeri ini.
Dua soalan yang menimbulkan kontroversi tersebut adalah sejauh manakah bidang kuasa sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini dihormati oleh Kerajaan Pusat dan setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan Kerajaan Negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam ?
Ditanya adakah beliau patut menjelaskan isu berkenaan kepada Tuanku Abdul Halim, Azizan berkata, ia tidak perlu kerana Sultan Kedah sudah memahaminya.
Menurutnya, semalam beliau telah menghubungi Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Elmi Yusoff mengenai isu tersebut dan meminta beliau supaya tidak mengendahkannya.
Dalam pada itu katanya, PKDK seolah-olah dipergunakan oleh 'orang politik' sehingga melakukan bantahan mengenai perkara berkenaan di Anak Bukit semalam dan sepatutnya datang berjumpa sendiri dengan beliau bagi mendapatkan penjelasan.
"Kenapa pula dia nak tunjuk perasaan macam Baju Merah di Bangkok itu," katanya.

No comments: