Sunday, April 18, 2010

Datuk Zaid Ibrahim yang akan mempertahankan kerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini, merupakan 'korban politik' yang disediakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, pemilihan Zaid sebagai calon dilihat tidak bertepatan dengan peranan beliau yang kononnya dianggap penting dalam PKR.
"Hulu Selangor bukanlah kerusi yang selamat bagi PKR kerana keputusan pilihan raya umum lepas menunjukkan mereka menang dengan majoriti kecil iaitu 198 undi sahaja. Jadi, sesiapa yang bertanding akan berdepan tugas sukar.
"Jika benar seperti yang diperkatakan iaitu Zaid mempunyai peranan penting dalam PKR, kenapa Anwar mahu 'mengorbankan' beliau di Hulu Selangor?"
Beliau mengulas pemilihan Zaid sebagai calon PKR untuk bertanding mewakili pakatan pembangkang pada pilihan raya kecil di kawasan Parlimen itu, 25 April ini.
Kata Anuar, kedudukan PKR di kawasan itu juga tidak kukuh dan menyifatkan parti itu cuma bernasib baik kerana berjaya merampasnya daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lepas dengan kemenangan 'nyawa-nyawa ikan' sahaja.
Beliau percaya Anwar akan menyalahkan Zaid jika bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu gagal mempertahankan kerusi itu, apatah lagi sebelum ini terdapat spekulasi bahawa hubungan mereka tidak begitu baik.
"Sebenarnya, hubungan Anwar dengan Zaid tidak 'ngam' walaupun berjuang di bawah bendera yang sama kerana tindakan Zaid campur tangan dalam isu PKR Sabah yang diketuai oleh Azmin Ali.
"Tindakan Zaid itu jelas melanggar arahan Ketua Pembangkang itu," kata Anuar lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan enam kotak rahsia yang disimpan oleh Anwar untuk dijadikan 'senjata politik' sejak 12 tahun lalu sebagai tidak wujud.
Pendedahan bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Ezam Mohd. Nor bahawa beliau sendiri sebenarnya tidak pernah melihat atau mengetahui kandungan kotak-kotak rahsia itu.
"Kalau betul ada kotak-kotak yang dikaitkan dengan kegiatan rasuah pemimpin-pemimpin UMNO dan BN, kenapa tak dedahkan sahaja dan tunggu lama sangat?
"Dia kena bertanggungjawab tampil menjelaskan apa sebenarnya (kotak rahsia itu)," kata Anuar.
Sementara itu, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohammad. Zahid Md. Arip berkata, kewujudan kotak itu sekadar mitos ciptaan Anwar semata-mata.
"Saya lama dalam PKR tapi saya sendiri tak pernah tengok kotak-kotak yang dimaksudkan itu.
"Berbohong sudah jadi budaya bagi dia, dia boleh cakap ada enam, 12 atau 30 kotak," katanya.
Menurutnya, jika benar kotak-kotak itu wujud, Anwar sudah pasti akan menggunakannya untuk meraih simpati rakyat terutamanya ketika kempen pilihan raya kecil.

No comments: