Monday, December 28, 2009

Pas kini lebih liberal


Pas kini tidak lagi dilihat berjuang atas nama Islam selepas tindak-tanduk parti itu menunjukkan ia menjadi 'pak turut' yang liberal semata-mata mahu menjaga hati rakan dalam pakatan pembangkang.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, prinsip Pas telah 'dikorbankan' apabila ia sanggup bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) apatah lagi DAP yang terang-terang menolak undang-undang Islam yang diperjuangkan parti itu.
"Apa yang berlaku sekarang ialah hala tuju Pas lebih kepada untuk berkuasa berbanding menegakkan ideologi Islam.
"Bagi saya jika ditakdirkan pakatan pembangkang menang, tiada gagasan perjuangan Islam kerana Pas bukan lagi parti dominan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas hala tuju Pas selepas parti itu terpaksa mengikut rentak DAP dan PKR sehingga 'mengendurkan' dasar dan prinsip perjuangan Islam agar lebih selari dengan rakan pakatannya.
Menurut Ahmad Atory, senario itu membuktikan Pas kini lebih liberal dan perjuangan Islam yang dilaungkan parti itu selama ini hanyalah satu pembohongan.
"Sebagai parti politik, Pas mahu kuasa dan demi cita-cita itu ia sanggup mengorbankan prinsip. Kalau berprinsip tidak mungkin menjalinkan kerjasama dengan DAP yang terang-terang menentang dasar menegakkan Islam.
"Mereka berbuat demikian untuk meraih undi bukan Melayu kerana cita-cita Pas untuk berkuasa tidak mungkin akan tercapai tanpa sokongan kaum Cina dan India," katanya.

No comments: